Thursday 22 December 2011

iSu pIngGiR bAndAr..!



Satu fenomena yang berlaku kesan daripada kepesatan pembangunan dalam wilayah metropolitan ialah berlakunya limpahan pembandaran dalam bentuk  penyelerakan aktiviti guna tanah bandar atau ‘urban overspill’ ke kawasan petempatan luar bandar seperti kampung-kampung dan petempatan tradisi di pinggir  bandar. Limpahan pembandaran yang berlaku adalah dalam bentuk pembangunan pesat pembandaran ke luar melebihi sempadan bandar yang ditentukan. Ini mengakibatkan sebahagian besar kawasan pinggir bandar yang dianggap sebagai zon peralihan (transition zone) telah bertukar kepada ciri-ciri bandar dalam aspek fizikaldan juga bukan fizikal (Anuar Amir, 1990). Perubahan umum ciri-ciri bandar yang ketara kepada penduduk kampung yang terletak di pinggir bandar merangkumi tiga aspek iaitu ke atas persekitaran fizikal kediaman, sosioekonomi dan sosiobudaya penduduk.

Di negara-negara yang pesat membangun seperti Malaysia, limpahan pembandaran berlaku dalam wilayah metropolitan di bandar-bandar besar. Pembangunan pembandaran diberi tumpuan khusus dalam pembangunan wilayah dan pembangunan negara. Ini merupakan usaha kerajaan bagi memanfaatkan sumber-sumber dan kemudahan bandar, menyediakan kepelbagaian peluang-peluang pekerjaan, dan memenuhi permintaan tempat tinggal kesan daripada peningkatan jumlah penduduk kawasan bandar. Pembangunan pembandaran ini diberi tumpuan melalui pembentukan strategi dan pelan-pelan perancangan di peringkat makro dan mikro seperti dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN), Rancangan Struktur Negeri(RSN), dan Rancangan Tempatan Daerah (RTD). Ini selaras dengan matlamat pembangunan negara untuk merapatkan jurang pemisahan antara masyarakat bandar dengan masyarakat luar bandar di samping mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan spatial antara wilayah (Rancangan Malaysia ke 4, 1981-85).

Fokus diberikan kepada kampung-kampung yang terletak di pinggir bandar dalam wilayah metropolitan yang dianggap sebagai medan pertembungan kepada perubahan fizikal dan bukan fizikal, kesan dari limpahan pembandaran yang berlaku. Kepesatan pembangunan terancang menyebabkan kampung pinggir bandar kian terhimpit dalam arus perkembangan pembandaran. Sebahagiannya mengalami perubahan ciri-ciri dan identiti kawasan, manakala penduduknya terpaksa menghadapi pengaruh pembandaran yang semakin meningkat terutama dalam aspek kediaman, ekonomi dan pekerjaan, serta gaya hidup. Impak limpahan pembandaran ke atas kampung pinggir bandar dijangka dapat memberi gambaran tentang kesan dan perubahan menyeluruh secara fizikal dan bukan fizikal yang berlaku akibat dari dasar  pembandaran sedia ada.

Antara isu-isu penting berkaitan rebakan bandar secara khusus di Malaysia adalah pertama, berlakunya pembangunan berpoket (pocket development). Kesan daripada pembangunan berpoket ialah lupusnya kampung-kampung tradisi, melenyapkan suasana kejiranan dan kepekaan pada kawasan (sence of place) kepada petempatan asal, dan menjejaskan kualiti dan corak hidup penduduk yang tinggal di pinggir bandar dalam wilayah metropolitan. Banyak kampung-kampung tradisi di pinggir bandar dalam wilayah metropolitan dianggap sebagai monumen atau simbol masyarakat luar bandar. Ianya perlu dipertahankan daripada lenyap begitu sahaja dilanda arus pembangunan yang begitu pesat. Pembangunan fizikal bandaraya telah menghimpit kampung-kampung ini dan banyak petempatan yang telah lenyap. Kampung-kampung yang mengalami tekanan pembangunan daripada ‘rebakan bandar (urban sprawl)’ menghadapi masalah sosioekonomi dan kualiti hidup yang rendah. Ini mencetuskan isu pemilikan rumah dan ketidakseimbangan sosial di kawasan pinggir bandar.

            Isu kedua ialah ketidakseimbangan penduduk (sama ada dari segi kaum dan status) amat ketara dalam pemilikan rumah terutama di kawasan perumahan baru yang dibina di pinggir metropolitan. Di Lembah Kelang terdapat banyak rumah jenis kondominium dan rumah banglo mewah dibina di kawasan pinggirnya berbanding dengan jenis rumah yang lain. Di Johor Bahru pula mempunyai kadar pemilikan hartanah di pinggir metropolitannya oleh penduduk asing yang tinggi berbanding bandar-bandar lain di Malaysia. Ini memberi kesan kepada struktur masyarakat bandar dan corak integrasi penduduk.


            Isu ketiga ialah masyarakat tempatan yang tinggal di petempatan pinggir bandar secara keseluruhan tidak mempunyai daya saing yang tinggi dalam pelaburan hartanah mahupun dalam ekonomi bandar. Taraf ekonomi mereka amat rendah dan tidak mampan. Penglibatan mereka dalam sektor pertanian semakin menurun. Di Lembah Klang sahaja, terdapat lebih daripada 20,000 penduduk petempatan berbentuk kampung dan petempatan sementara yang hidup dalam keadaan melarat dan menyedihkan, walau pun sudah lebih dua puluh tahun menetap dalam kawasan.

Isu rebakan Bandar ini memberi impak positif dan juga negetif terhadap kawasan pinggir Bandar dan juga persekitarannya. Antara impak positifnya ialah peluang pekerjaan di Bandar utama meningkat, peningkatan pendapatan penduduk, penduduk lebih aktif dalam tenga kerja, pasaran rumah lebih luas dan sebagainya. Manakala impak negetifnya pula ialah kesesakan kawasan kediaman, kesesakan lalu lintas, pencemaran alam sekitar, aktiviti berkaitan pertanian dan pendapatannya menurun dan lain-lain.

 Migrasi dalaman (kawasan bandar ke kawasan pinggira Bandar) merupakan salah satu impak rebakan Bandar. Sejak kebelakangan ini migrasi  telah menjadi  suatu trend global. Dalam era globalisasi ekonomi di kawasan Bandar memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara. Wilayah sedemikian telah menjadi fokus kepada pelaburan, khususnya pelabur asing langsung kerana kelebihan daya saingnya. Ketiadaan tanah yang sesuai untuk dimajukan di kawasan teras (Bandar) telah menyebabkan banyak firma pembuatan dan perkhidmatan menempatkan diri atau memindahkan aktiviti mereka ke kawasan pinggir bandar. Peningkatan penawaran peluang pekerjaan dan kawasan kediaman bandar yang baru telah menarik isi rumah termasuk mereka yang tinggal di zon teras (Bandar), untuk berpindah ke kawasan yang baru membangun. Hal ini menggalakkan proses rebakan bandar di kawasan tersebut.

Hugo (1996) dan Jones (1997) melaporkan bahawa rebakan Bandar ke pinggir Bandar boleh berlaku melalui beberapa cara. Antara cara tersebut termasuklah melalui perkembangan jaringan sistem pengangkutan bandar. Perkembangan ini seterusnya menggalakkan mobiliti penduduk dan perkembangan guna tanah perumahan, perindustrian, perdagangan, perkhidmatan khususnya ruang pejabat, institusi pendidikan dan perniagaan retail skala besar, ke kawasan pinggiran. Melalui proses ini juga, pejabat yang menempatkan pelbagai aktiviti perkhidmatan pengeluar yang penting kepada bandar, kilang perindustrian dan rumah kediaman turut berkembang ke pinggir. Perpindahan fungsi bandar ke kawasan pinggiran telah menggalakkan migrasi penduduk ke kawasan yang sama. Sebahagian migran berasal dari kawasan tengah bandar. Mereka berpindah ke pinggir kerana tertarik dengan peluang pekerjaan, memiliki rumah atau tapak rumah kediaman atau pun kemudahan komuniti termasuk pusat membeli belah moden yang baru dibina di kawasan pertumbuhan baru di pinggir Bandar.

Kesan-kesan migrasi dalaman terbahagi kepada kesan positif dan kesan negatif. Antara kesan positif migrasi dalaman terhadap kawasan asal dan kawasan destinasi ialah peningkatan pembangunan sumber alam di tempat tersebut. Migrasi masuk penduduk ke sebuah kawasan membolehkan kawasan itu mempunyai tenaga buruh yang mencukupi bagi menjana dan membangunkan sumber-sumber alam yang ada. Sebagai contoh sumber tanah di rancangan Pembangunan Wilayah JENGKA, DARA, KESEDAR, KETENGAH, dan KEJORA dapat di majukan dengan sektor perladangan getah dan kelapa sawit. Kemajuan ini disebabkan kemasukan migran penduduk desa dalam program penempatan peneroka yang dilakukan oleh FELDA pada awal 1970-an. Golongan peneroka melakukan kerja-kerja buruh seperti pembersihan tapak ladang, penanaman, pengutipan hasil dan penghantaran ke kilang memproses.

Selain itu, tekanan kependudukan dapat dikurangkan. Tekanan kependudukan dan sumber alam di kawasan desa atau di kawasan yang padat penduduk dapat dikurangkan melalui migrasi keluar penduduk dari kawasan tersebut. Contohnya, melalui program transmigrasi penduduk Pulau Jawa ke pulau-pulau lain di Indonesia sedikit sebanyak telah berjaya mengurangkan tekanan penduduk yang selama ini berlaku di Pulau Jawa. Penduduk yang tinggal boleh mengerjakan sumber alam yang ada tanpa saingan sengit. Peluang pekerjaan yang ada boleh diisi dan sepadan dengan penawaran buruh semasa. Justeru pendapatan perkapita penduduk dan taraf hidup penduduk juga turut meningkat.

Antara kesan negatif  migrasi dalaman terhadap kawasan asal dan kawasan destinasi pula ialah tekanan terhadap sumber alam khususnya sumber tanah. Hal ini disebabkan berlakunya persaingan guna tanah yang ketara antara penempatan, industi, pembandaran, kemudahan asas, pertanian, dan sebagainya di bandar raya Kuala Lumpur. Saiz tanah yang tidak bertambah berbanding kepadatan dan intensiti guna tanah  akan menimbulkan tekanan terhadap tanah-tanah yang ada. Kemasukan migrasi akan menambahkan bilangan penduduk, justeru kawasan penempatan dan perumahan perlu dibina bagi memenuhi keperluan penduduk berkenaan. Pembukaan kawasan penempatan baru akan mengorbankan kawasan guna tanah yang sedia ada seperti guna tanah pertanian. Pada masa kini sudah banyak estet-estet pertanian bertukar kepada estet perindustrian dan perumahan serta nilai tanah menjadi semakin mahal sehingga sukar untuk guna tanah lain di jalankan.

Selain itu, pencemaran dan kerosakan sumber alam. Pertambahan penduduk di pinggir-pinggir bandar akibat migrasi telah meningkatkan kadar pencemaran udara dan air di kawasan berkenaan. Pertambahan penduduk secara tidak langsung meningkatkan jumlah kenderaan yang melepaskan gas-gas pencemar seperti karbon monoksida ke udara. Keadaan ini akan meningkatkan lagi indeks pencemaran udara. Sumber air khususnya sungai akan tercemar menerusi pembuangan sisa domestik seperti sampah sarap oleh penduduk yang semakin bertambah di kawasan tersebut.

Di samping itu, kepupusan sumber alam. Migrasi masuk penduduk terhadap sesuatu kawasan yang mempunyai sumber berpotensi menyebabkan lama-kelamaan sumber tersebut mengalami kepupusan dan diancam kehabisan khususnya sumber yang tidak boleh diganti. Contohnya, sumber bijih timah di Ipoh, Perak yang diancam kepupusan akibat eksploitasi berlebihan semenjak kemasukan migran-migran melalui Cina ke Tanah Melayu pada awal abad ke-19. Sumber-sumber hutan di kawasan pinggir bandar juga hampir kehabisan kerana proses penebangan dan penerokaan yang sentiasa berlaku bagi memenuhi permintaan sektor perumahan, pembandaran, dan perkilangan yang semakin bertambah.

Selain migrasi, impak rebakan Bandar ke atas kawasan pinggir Bandar ialah wujudnya lebih banyak peluang pekerjaan dikawasan tersebut. Hal ini kerana, limpahan pembangunan telah beralih kekawasan pinggir Bandar akibat proses rebakan. Banyak industri  baru dibangunkan dikawasan pinggir Bandar. Hal ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Mereka tidak perlu berhijrah keluar kawasan mereka untuk mencari pekerjaan, tetapi hanya perlu bekerja ditempat mereka sahaja. Peluang pekerjaan merupakan impak positif kesan daripada rebakan Bandar. Guna tanah kawasan pinggir Bandar akan digunakan sepenuhnya dengan pembangunan.

Pencemaran alam sekitar yang serius merupakan impak daripada rebakan bandar. pencemaran alam terutamanya pencemaran udara berlaku disebabkan berlakunya pertambahan kenderaan bermotor dan juga pertambahan kawasan-kawasan perindustrian. Pencemaran udara boleh ditafsir sebagai terdapatnya gas,cecair atau zarah yang terkandung di udara yang menyebabkan berlakunya perubahan dan menjejaskan kehidupan atau bahan-bahan lain. Perkembangan pesat di pinggi bandar menyebabkan udara di kawasan itu yang sebelum ini bersih tanpa sebarang pencemaran menjdi tercemar.

Asap-asap kenderaan dari kenderaan bermotor dan kilang mengeluarkan gas-gas karbon dioksida dan bahan pencemar yang lain yang boleh menyebabkan udara mnjadi kotor. Gas-gas yang dilepaskan ini akan terbebas keudara dan berkumpul menjadi satu lapisan penebat haba atau dikenali sebagai jerebu. Pencemaran udara juga berlaku disebabkan pembakaran secara terbuka, pembakaran hutan dan juga bahan-bahan sisa bandaran. Jika dibiarkan hal ini berlanjutan, banyak kesan negetif akan berlaku seperti masalh kesihatan, pemanasan global dan lain-lain. Kita juga tidak dapat lagi menghirup udara segar dikawasan pinggir bandar kerana kawasan ini sudah pun tercemar akibat daripada kita sendiri.

Rebakan Bandar memberi impak kepada hidupan dan alam sekitar samada impak positif atau impak negetif. Pihak tertentu perlu memainkan peranan yang sangat penting bagi mengawal keadaan ini daripada terus berleluasa. Walaupun rebakan Bandar memberi kesan yang positif, namun lebih banyak kesan negetif yang akan kita hadapi. Sebagai perancang, kita juga perlu membuat penilaian tentang baik dan buruknya sesuatu tindakan itu. Rebakan Bandar perlu dikawal bagi memastikan kawasan pinggir Bandar selamat daripada sebarang perubahan. Kawasan pinggir Bandar seharusnya dilindungi dari sebarang jenis pembangunan yang boleh mengubah identiti kawasan tersebut daripada hilang identitinya dan hilang keindahan alam semulajadinya.

Oleh itu, kawalan pembangunan perlu dilakukan dengan tegas dan mengikut polisi-polisi serta garis panduan pembangunan sedia ada. Sempadan antara kawasan Bandar dan pinggir Bandar harus diwujudkan bagi mengelakkan berlakunya rebakan Bandar. Sempadan berperanan sebagai kawasan pembahagian dua kawasan yang berbeza seperti kawasan Bandar dan pinggir Bandar. Dengan wujudnya sempadan ini, maka, kawasan pinggir Bandar akan terjamin daripada sebarang aktiviti Bandar sekaligus mengelakkan berlakunya rebakan Bandar.

No comments:

Post a Comment